Saturday, 9 June 2012

Agama: Tolak Jodoh = Tolak Takdir??

Soalan :
Assalamu’alaikum warahmatullah Ustaz, saya ada soalan seperti di bawah:
1) Adakah jodoh kita telah ditaqdirkan? Maka kita hanya menerima sahaja siapa sahaja jodoh kita? Jika begitu adakah menjejaskan kita dengan “Aqidah hanya menerima taqdir”?

2) Begitu pula sebaliknya dengan orang yang tidak dapat menerima jodohnya adakah menjejaskan aqidahnya dengan “Aqidah menolak Taqdir?”


3)Adakah sahih dari Nabi saw yang menyuruh kita Ikhtiarkan jodoh? Bagaimana dengan perempuan? Adakah mereka disuruh Nabi ikhtiarkan jodoh suami mereka?

4)Apakah pendapat ulama’ Saudi dan negara teluk lain seperti Abdul Aziz Baz yang negaranya agak terbatas pergerakan perempuan mereka? Bagaimana pula dengan keadaan sekarang serta pendapat ulama kontemporari mereka seperti Salman ‘Awdah? Adakah selari dengan fatwa masa dulu atau dah berubah sekarang?

Jawapan :
1- Allah menciptakan setiap sesuatu dengan ketentuan-ketentuannya layak dengan sifat Allah swt yang maha mengetahui samaada perkara itu telah ataupun akan terjadi. Allah swt berfirman :

الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا
Maksudnya : “Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.” (al-Furqan : 2)
Termasuk ketentuan (takdir) tersebut ialah urusan jodoh setiap orang. Allah mengetahui dan menentukan sifulan adalah jodoh untuk sifulan. Semua perkara termasuk jodoh ini tidak tersembunyi dari pengetahuan Allah. Firman Allah swt :

إِنَّ اللَّهَ لا يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلا فِي السَّمَاء
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi dariNya sesuatupun samaada di bumi atau di langit.” (Ali Imran : 5)
Namun persoalannya sekarang kita tidak mengetahui apakah takdir yang ditentukan oleh Allah swt kepada kita. Siapakah jodoh kita dan seumpamanya. Semua perkara takdir ini tersimpan dalam pengetahuan Allah swt sahaja.
Dalam menempuh kehidupan, Allah swt dan Nabi saw telah mengajar kita dalam bentuk yang terbaik termasuk dalam menerima jodoh. Allah menjadikan setiap takdir itu bersama dengan sebab musababnya. Maka setiap muslim perlu berusaha memperolehi yang baik dengan menempuh sebab-musabab kepada kebaikan seperti yang diajarkan oleh Nabi saw.

2- Ada perbezaan yang jelas antara jodoh dengan bakal jodoh. Tidak menerima bakal jodoh bukan bermakna menolak takdir. Tidak ada istilah menolak takdir setakat apa yang saya fahami. Tidak ada manusia yang mampu menyalahi takdirnya apatah lagi untuk menolaknya. Istilah menolak takdir ini wujud, mungkin berpunca dari pengaruh filem-filem Hindi terutamanya, demikian juga pengaruh dari filem-filem kantonis dan barat yang berlebih-lebihan dimomokkan kepada kita oleh media. Dalam filem-filem sebegini terdapat banyak unsur yang bahaya pada akidah umat Islam terutamanya dalam soal ketentuan (takdir) Allah swt.
Sebahagian filem-filem tersebut menunjukkan bagaimana takdir itu ditolak, dipersalahkan dan seumpamanya. Maka pengaruh ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran umat Islam yang mabuk menonton filem-filem dari orang-orang kafir tanpa berfikiran kritis yang bersesuaian dengan agama.
Maka perbuatan seseorang yang menolak bakal jodohnya kerana berdasarkan penilaiannya, orang tersebut tidak sesuai untuknya, tidaklah boleh dikira sebagai menolak jodoh. Bahkan penolakan itu adalah wajar dan mesti jika ia ditolak berdasarkan penilaian agama.

3- Yer sudah tentu Nabi saw mengajar umat Islam lelaki dan perempuan untuk mereka berusaha memilih jodoh mereka, bahkan ini adalah kemestian. Antaranya adalah hadith Nabi saw :

تنكح المرأة لأربع : لمالها ولحسبها وجمالها ولدينها ، فاظفر بذات الدين تربت يداك
maksudnya : ” (kebiasaannya) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara : Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya, Maka pilihlah yang memiliki agama, dia akan menguntungkan kamu.” (al-Bukhari dan Muslim)
Hadith ini merangkumi lelaki dan wanita. Wanita juga disuruh memilih bakal jodohnya yang berpegang teguh dengan agama. Inilah usaha untuk memperolehi kebaikan yang dituntut oleh ALlah dan rasul untuk kita mencarinya.

4- Semua ulama dahulu dan sekarang sepakat dalam urusan ketentuan Allah swt. ia merupakan salah satu daripada rukum iman.
wallahu a’lam.

kredit: soal jawab agama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...