Monday, 3 March 2014

Dilema Penyusuan : Bayi Menyusu Mulai Mengigit

Terdapat sesetengah bayi yang menggigit apabila dia telah terlena semasa penyusuan dan apabila tersentak atau terkejut secara tiba-tiba dia akan menggigit puting ibunya. Ini berlaku tanpa dia sendiri menyedarinya dan adalah tindakan refleks bayi kerana takut kehilangan puting ibunya. Jika ini yang berlaku, apabila bayi telah mula lena, segeralah lepaskan puting dari mulutnya dan biarkan dia lena sendiri tanpa puting ibu di dalam mulutnya.

Saya sendiri memang mengalami keadaan sebegini, kerana sering tertidur semasa menyusu sampai tak sedar bayi telah lena. Jika bayi sedang menggigit, lepaskan perlahan-lahan gigitan itu dengan memasukkan jari kelingking ke dalam mulut bayi secara perlahan-lahan untuk memisahkan gigi dan puting. 



Terdapat juga bayi yang menggigit kerana berasa gatal gusi dan ingin menghilangkan rasa gatal ini dengan menggigit sebarang objek termasuk puting ibunya. Biasanya dia akan mula menggigit pada awal penyusuan. Terdapat petua iaitu dengan membawa bayi lebih dekat kepada ibu seperti menyusukan bayi baru lahir boleh menyelesaikan masalah menggigit. Tetapi jika tidak berkesan, cuba pisahkan puting dari mulut bayi seperti teknik di atas sambil membisikkan kepada bayi yang perbuatannya boleh menyakitkan ibu. InsyaAllah, walaupun bayi masih kecil, dia boleh memahaminya. Ini juga akan melatih ibu dan anak untuk berkomunikasi dengan lebih baik.

Kadangkala bayi menggigit kerana merasakan pengeluaran susu lebih sedikit dari biasa dan dia merasa tidak puas. Jika ini berlaku, periksa rutin ibu. Pengeluaran susu yang sedikit boleh terjadi atas banyak faktor. Antaranya:
  • Ibu mula menggunakan pil perancang
  • Bayi mula menghisap lebih banyak botol dari ibunya sendiri atau
  • Ibu telah mengandung semula
  • Jarang mengosongkan payudara
Pada hakikatnya, setiap perkembangan bayi ini, akan menyebabkan kita cuba mengenali sikap bayi itu. Setiap bayi adalah unik dan apa yang diceritakan diatas adalah sebahagian dari pengalaman ibu-ibu yang telah sudah. Mungkin bayi anda berbeza dan cuba kenali sifat bayi anda dan cuba atasinya dengan penuh kasih sayang. Insyallah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...