Monday, 10 March 2014

Cabaran Penyusuan Sewaktu Berpantang: Tekanan Orang Sekeliling

Proses berpantang memang kadangkala sangat mencabar, lebih-lebih lagi jika dijaga oleh orang tua, tak kira lah mak sendiri atau mak mertua. Jika anda dijaga oleh mak mertua, masalah timbul juga jika bukan berasal dari negeri yang sama. Contohnya: Anda asal negeri X, mertua anda dari negeri Y. Mak anda cakap boleh makan ikan masak singgang, tapi mertua cakap tak boleh, makan yang bakar je 40hari. Mana satu nak ikut? Of coz ler tension kan.



Kita akur penjagaan sewaktu berpantang itu penting untuk kesihatan tubuh badan dan sistem peranakan wanita yang baru lepas bersalin. Sebab kalau kita tak jaga betul-betul, takut kesannya di hari tua nanti baru terasa. Anda sebagai ibu yang memang berniat ingin penyusuan ekslusif, pasti ingin berjaya kan tanpa menjejaskan kesihatan tubuh badan.
Bagi sesetengah ibu baru akan menghadapi cabaran tersendiri. Lebih-lebih lagi jika cara berpantang tersebut melarang pengambilan makanan atau minuman berkhasiat yang sesuai untuk ibu menyusu. Antara cabaran yang bakal dihadapi adalah:

  • Tak boleh minum air banyak semasa berpantang.

Sesetengah orang tua atau penjaga semasa berpantang tidak menyokong sepenuhnya penyusuan susu ibu. Ini kerana sesetengah cara berpantang tradisional yang biasa diamalkan hanya menitik beratkan penjagaan tubuh ibu yang biasanya dinilai dari luaran, tanpa mengambil kira terhadap kesan proses penyusuan bayi. Jika orang tua anda memang arif tentang penyusuan susu ibu dan akan memastikan anak yang bakal dilahirkan nanti dapat disusukan dengan susu ibu sepenuhnya, tidak mengapa untuk mengikut cara berpantangnya. Insyallah,  petua-petua yang akan diberikan boleh membantu menjaga kesihatan ibu dan bayi. Tetapi jika anda mendapati orang tua tidak berapa kisah terhadap isu ini bertindaklah mengikut keperluan. Contohnya, mengambil air minuman tambahan secara sembunyi nak elak dari menyinggung perasaan orang lain. Bila anak menangis, mulalah terdengar kata-kata “ anak lapar, tak cukup susu”. Mau tak stress kita kan.
Dalam masa yang sama cuba beritahu secara halus tentang hasrat penyusuan eksklusif yang ingin dicapai.

  • Suami tak faham & suami tak sokong penyusuan

Sesetengah suami tidak memahami sepenuhnya tentang kepentingan penyusuan susu ibu. Kadangkala apabila ibu baru menghadapi masalah atau kesukaran untuk menyusukan bayi diperingkat awal, suami sendiri tidak dapat mempertahankan hasrat untuk meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif dan mudah menerima cadangan untuk diberi susu campuran (bersama susu formula). Ini pasti menjejaskan pengeluaran susu ibu. Jika suami anda memahami sepenuhnya tentang penyusuan susu ibu, minta bantuan beliau untuk mempertahankan hasrat anda dan membantu membekalkan makanan yang sesuai untuk ibu yang sedang menyusukan bayi. Dapatkan tips bagaimana untuk menambahkan bekalan susu dan sebagainya.

  • Terpaksa akur dan tak rela

Ibu yang baru pertama kali melahirkan bayi, sering terpaksa akur terhadap pelbagai tips yang diberikan oleh pelbagai pihak. Adalah penting untuk ibu muda membuat persediaan mental dan pembacaan secukupnya bagi menghadapi situasi begini. Kebanyakan ibu baru yang berjaya menyusukan bayi mereka sepenuhnya adalah mereka yang berjaya menepis segala cadangan yang boleh menyukarkan penyusuan susu ibu dan meneruskan teknik yang telah dipelajari sejak dari masa mengandung lagi.

Contoh tips yang sering diberi kepada ibu baru: "Ajarlah anak tu menyusu botol dengan susu formula je, nanti nak mula kerja susah." Ini kerana kebanyakan orang tua kita tidak mengetahui kewujudan teknik menyimpanan susu ibu dan keupayaan dan kejayaan ramai ibu berkejaya meneruskan penyusuan tanpa sebarang masalah. Adalah tanggungjawab kita untuk menerangkan keadaan yang sebenar.  Padahal, kini dah banyak kelengkapan penyusuan untuk ibu berkerjaya jadi tak mustahil untuk berjaya.

Ada ibu  yang begitu tegas bab pantang larang, diberi minum akar kayu dan  makan lada hitam bersama nasi dan lauk lain. Tanpa sedar anda yang menyusukan bayi, susu itu anak yang minum. Bagi anak yang tak tahan, mudah dapat cirit birit dan bacaan jaundis yang tinggi akibat pemakanan yang panas ni.

Bukan tak boleh tetapi berpada-pada !! Saya faham bukan senang untuk menolak suruhan ibu dan mertua tetapi berfikirlah la demi anak. Saya tahu memang susah kerana saya juga pernah mengalaminya.

Walau apapun, pastikan apabila hendak menepis atau menolak cadangan (yang dirasakan tidak membantu proses penyusuan), anda tidak menyinggung perasaan orang tua. Seperkara lagi, hadapi setiap situasi ini dengan tenang. Ketenangan dapat membantu ibu yang baru belajar menyusu. Jika menghadapi kesukaran untuk memberikan pendapat atau menghadapi situasi sukar, minta bantuan pakar seperti kaunselor laktasi untuk menerangkan lebih lanjut kepada orang tua. Biasanya, mereka akan lebih mudah menerima pandangan dari pihak ketiga. Memang sukar untuk dilakukan, tetapi percayalah jika kena caranya, insyaAllah anda pasti berjaya!


Selamat menimang cahaya mata dan percayalah hanya susu ibu makanan utama dan terbaik untuk bayi anda.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...