Saturday, 20 October 2012

Hukum Menyusukan Anak Angkat

Agama Islam sangat menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk enyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan perubatan.
Penegasan ini adalah berdasarkan pandang Jumhur Fuqaha yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk menyusukan seperti mana pandangan Mazhab Hanbali , SyafiĆ­, dan Hanafi yang menyatakan seorang wanita yang hendak menyusukan anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.

Jumhur Fuqaha bersepakat bahawa terdapat 2 kaedah penyusuan menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payu dara dan penyusuan secara tidak langsung dari tiub, botol susu dll. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan berikut:

a. Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan

b. Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi dan

c. umur bayi tidak lebih 2 tahun mengikut perkiraan bulan qamariah

Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yeng menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seprti bayi yang menyusu terus daripada payudara. Bagaimana pun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah secara menyuntik susu melalui qubul dan dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.

Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. penyusuan tersebut tidak memberi kesan akidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.

Bagi seorang lelaki yang telah mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka muzakarah memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalh menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.

(FATWA INI DIPUTUSKAN OLEH JAWATANKUASA MAJLIS FATWA KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA KALI KE-96 YANG BERSIDANG PADA 13-15 OKTOBER 2011)
 
Iman: Bilangan No 8

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...