Monday 30 July 2012

Siapa WAJIB Bayar Fidyah Puasa?

FIDYAH PUASA

Siapakah yang wajib mengeluarkan fidyah puasa? Bagaimana cara mengeluarkannya?

Fidyah puasa bermaksud mengeluarkan kadar tertentu dari makanan asasi setempat bagi setiap hari yang ditinggalkan dari puasa bulan Ramadhan dan diberikan kepada orang miskin. Kewajipan fidyah puasa ini berdasarkan firman Allah;

“…Dan wajib ke atas orang-orang yang payah/sukar mengerjakan puasa (kerana tua, sakit yang tiada kemungkinan sembuh dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin (bagi tiap-tiap hari yang ditinggalkan puasanya)…”. (al-Baqarah: 184)

Orang-orang yang dituntut membayar fidyah puasa ialah;

1. Orang yang meninggalkan puasa kerana sakit yang tiada harapan sembuh
2. Orang tua yang tiada lagi kemampuan/daya untuk berpuasa.
3. Wanita hamil yang berbuka puasa kerana bimbangkan kandungannya.
4. Wanita menyusu yang berbuka puasa kerana bimbangkan anak yang disusuinya itu.
5. Seorang yang mati sebelum sempat mengqadha’ puasanya
6. Seorang yang sengaja menangguh-nangguh qadha’ puasanya sehingga tiba Ramadhan berikutnya dan ia belum menunaikan puasa Qadha’nya. Ia wajib membayar fidyah di samping mengqadha puasanya itu.

Kadar satu fidyah ialah secupak beras (menyamai ukuran hari ini; 650 gram beras). Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; harus dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu. Malah beliau mengharuskan menunaikan fidyah itu dengan memberi makan orang miskin, yakni membuat makanan dan kemudian menjemput orang miskin menikmatinya. Memakai pandangan Imam Abu Hanifah ini, Syeikh 'Atiyah Saqar rhm (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar) menyebutkan; satu fidyah ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin dengan makanan yang mencukupinya untuk makanan pagi (ghada’) dan malam (asya’).

Satu fidyah hanya harus diberikan kepada seorang fakir miskin sahaja. Namun jika fidyah itu banyak, maka harus jika hendak diberikan kepada seorang atau beberapa orang fakir dengan syarat bilangan mereka tidak boleh melebihi bilangan fidyah (supaya tidak berlaku satu fidyah diagihkan kepada lebih dari seorang fakir).

Jika orang yang wajib membayar fidyah tersebut tidak mampu membayarnya kerana miskin, maka terhapuslah kewajipan membayar fidyah seperti terhapusnya kewajipan membayar zakat fitrah. Pendapat ini yang disokong oleh Syeikh Ibnu Hajar di dalam kitabnya “Tuhfah”. Namun menurut Syeikh Ramli dan juga Khatib Syarbini; tidak terhapus kewajipan membayar fidyah kerana miskin dan fidyah yang belum terbayar itu menjadi hutang. Jika ia mati sebelum membayar fidyahnya, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya. (Rujuk; Sabilal-Muhtadien, hlm. 768, lihat juga; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 257)


Mengikut Mazhab Imam Syafi'ie pula bagi wanita MENYUSUKAN BAYI dan WANITA HAMIL



  • Jika berbuka kerana risaukan  diri maka hanya wajib ganti puasa, tidak        wajib fidyah.



  • Jika berbuka kerana risau kan anak  maka wajib ganti puasa dan wajib bayar fidyah (cth: risau susu badan kering atau merosot akibatnya anak tidak cukup susu)


  •  Contoh yg mudah:
    • Ibu hamil tinggalkan puasa selama 15hari sebab risaukan diri yang tak larat dan lemah, wajib ganti puasa itu selama 15 hari juga
    • Ibu menyusukan bayi tak puasa 15 hari sebab risaukan anak lapar dan risau susu semakin merosot di mana ibu perlu makan dan minum air banyak untuk maintain susu tak kering, ibu wajib gantikan puasa 15hari, juga bayar fidyah 15 cupak beras.

    Wallahu A’lam.

    Rujukan;
    1. al-Fiqh al-Manhaji, jil. 2, hlm. 92.
    2. Sabilal-Muhtadien, hlm. 768.
    3. Al-Majmu’, jil. 6, hlm. 257.
    4. Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 353
    5. Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 449.2.
    6. Al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh 'Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 16.

    No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...